Saturday, February 28, 2009

kaum wanita sebagai penghuni majoriti

sabda Rasulullah S.A.W :

"Aku telah meninjau syurga dan aku dapati kebanyakan penghuninya ialah kaum miskin, dan aku juga meninjau neraka dan aku dapati kebanyakannya penghuninya ialah kaum wanita ."
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari. )


(Dari sabda Rasulullah s.a.w.)

wanita ahli neraka ialah :

1. Wanita yang digantung dengan rambutnya, kerana menampakkan rambut pada lelaki yang diharamkan.

2. Wanita digantung dengan kaki terikat pada teteknya terus ke ubun-ubunnya dengan ular dan kala memakan daging serta meghisap darahnya kerana tidak bersuci (atau tidak sah bersuci) dari hadas besar serta meringan-ringankan sembahyang.

3. Wanita digantung dengan teteknya kerana memberi susunya kepada orang lain tanpa izin suaminya.

4. Wanita digantung dengan kakinya dalam rongkongan api neraka kerana keluar rumah dengan tiada izin suaminya.

5. Wanita digantung dengan lidahnya serta dituang dengan air panas ke dalam tengkuknya kerana menyakiti suaminya.

6. Wanita menjadi seperti tubuh keldai, berkepala babi kerana suka mengadu ngadu serta berdusta.

7. Wanita berbadan anjing kerana suka melaga-lagakan manusia serta dengki mendengki.


Friday, February 27, 2009

Sejarah Umno khianat Raja-raja Melayu tidak boleh dipadamkan - MB Kedah

ALOR SETAR, 27 Feb (Hrkh) - Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak menyifatkan Umno kini cuba menjadi jaguh kononnya mempertahankan Raja-raja Melayu dan cuba menggambarkan PAS sebagai menentang sedangkan Umno mempunyai sejarah pengkhianatan mereka kepada Raja-raja Melayu.



Terbaru, dalam laporan Buletin Utama TV3 pada 25 Februari lalu, Setiausaha Pemuda Umno Kedah, Haris Che Mat mengumumkan untuk membuat laporan polis terhadap seorang Exco Kerajaan Negeri Kedah dengan tuduhan menghina Tuanku Sultan Kedah berdasarkan satu surat layang.

Sehubungan itu, Ustaz Azizan selaku Pesuruhjaya PAS Kedah mencabar Pemuda Umno berkenaan untuk mengemukakan bukti dan sekiranya gagal mereka akan berhadapan dengan saman yang akan dikemukakan.

"Mereka cuba nak jadi 'hero' dan 'champion', nak buat laporan polis nak heret Exco-exco kita. Kalau perkara ini tidak betul, kita akan saman TV3 dan saman Pemuda Umno.

"Ini bukan sahaja tohmahan yang cuba melaga-lagakan kita dengan Raja-raja Melayu atau Tuanku Sultan Kedah yang kita kasihi, tetapi cuba memberikan imej yang buruk kepada PAS dalam konteks politik dan perjuangan bangsa dan negara. Mereka jangan main-main!" tegasnya semasa berceramah merasmikan Ekspo Pertanian Dan Produk Halal anjuran PAS Kawasan Pokok Sena di Kompleks PAS Kawasan Pokok Sena, di sini baru-baru ini.

Sebaliknya tegas beliau, Exco yang berkenaan akan diberhentikan sekiranya terbukti menghina Raja-raja.

ImageMenurut Ustaz Azizan, usaha pihak-pihak tertentu untuk menjatuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah telah lama dilakukan termasuk menggunakan nama istana seperti juga krisis yang dicipta di Perak dengan menggambarkan PAS sebagai jahat dan menentang Raja-raja.

Bagaimanapun katanya, sebagaimana 31 Ogos 1957 adalah Hari Kemerdekaan Negara yang tidak boleh dipadam sejarah, begitu jugalah sejarah pengkhianatan Umno kepada Raja-raja Melayu juga tidak boleh dipadamkan sejarah.

Menyentuh mengenai Pilihan Raya Kecil Bukit Selambau, tegas beliau, Pakatan Rakyat Kedah tidak bimbang bahkan bersedia menghadapi 'Pilihan Raya Besar' iaitu pilihan raya seluruh negeri Kedah.

Beliau secara sinis turut mempersoalkan sumber kewangan Umno hingga sanggup menawarkan wang berjumlah RM5 juta untuk mempengaruhi Adun Kulim, Lim Soo Nee melompat parti sebagaimana didakwa Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam Parlimen baru-baru ini.

"Awat (Apa) Umno ni kaya mana? Umno ni kaya sangat ka? Kalau tak ambil duit rakyat, tak ambil duit anak syarikat kerajaan, tak ambil hutang balak, nak cari duit mana? Tapi mereka telah menyalahgunakan kuasa.

"Hal inilah yang rakyat tak mau kepada mereka. Maka mereka cuba membuat pelbagai fitnah untuk menghilangkan keyakinan rakyat kepada kita," tegasnya yang turut mengaku telah mempunyai banyak butiran penyelewengan Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini selain penyiasatan-penyiasatan lain juga masih dijalankan.

Menurut beliau, Kerajaan Pakatan Rakyat berusaha membuktikan bahawa telah mentadbir secara lebih baik daripada Barisan Nasional. "Kita cuba memberi keyakinan kepada rakyat bahawa zaman takut, zaman menindas, zaman ugutan, zaman mematikan dasar demokrasi dan perlembagaan negara, telah berlalu," ujarnya.

Katanya, Kerajaan Negeri juga mempunyai hubungan yang baik dengan Tuanku Sultan Kedah dan menyifatkan baginda sebagai Sultan yang sentiasa bersama dan mengutamakan rakyat.

Jelas Ustaz Azizan lagi, beliau sebagai Menteri Besar juga setiap minggu mengadakan pertemuan dengan Tuanku Sultan Kedah melaporkan perkembangan semasa negeri.

"Tuanku tahu apa yang kita buat dan sering memberi nasihat kepada kita. Bagaimana mungkin kita derhaka kepada Raja? Tetapi mereka (Umno) cuba melaga-lagakan kita dengan Raja. Sebab itu saya tidak berapa seronok bila ada pihak-pihak yang nak heret Istana nak bergaduh dengan kita dalam hal ini.

"Insya-Allah saya sudah arah Exco yang dituduh ini berjumpa saya dan Setiausaha Kerajaan Negeri. Saya (akan) memanggil orang yang buat cakap fitnah yang kata kita menghina Raja-raja, kita akan bersemuka dan selesaikan dengan cepat," tegas beliau sambil mengungkap dalil al-Quran mengenai azab api neraka terhadap mereka yang mengadakan fitnah.

Beliau turut menyeru agar pihak-pihak tersebut agar segera bertaubat dan menghentikan cakap-cakap bohong.

Turut menyampaikan ceramah pada majlis tersebut ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Pokok Sena, Dato' Mahfuz Omar dan Ahli Majlis Tertinggi KeADILan, Saifuddin Nasution. - azm/mks._

Monday, February 23, 2009

Kisah Tamin Ad mengenai Dajjal

Ada riwayat Muslim yang diterima dari Fatimah binti Qais mengatakan: “Saya telah mendengar muazzin Rasulullah s.a.w memanggil untuk solat. Saya pun pergi ke masjid dan solat bersama Rasulullah s.a.w. Selesai solat, Rasulullah s.a.w naik ke atas mimbar. Nampak semacam bergurau Baginda tertawa dan berkata: “Jangan ada yang bergerak.

Hendaklah semua duduk di atas sajadahnya.” Kemudian berkata: “Tahukah kamu mengapa aku memerintahkan kamu jangan ada yang pulang?” Kami menjawab: “Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu.”

Rasulullah s.a.w berkata lagi: “Demi Allah aku menyuruh kamu berkumpul di sini bukan ingin menakut-nakuti dan bukan memberi khabar gembira. Aku ingin menceritakan kepada kamu bahawa Tamim Al-Dariy adalah seorang Nasrani, kemudian dia datang menjumpai aku dan masuk Islam. Dia ada bercerita kepadaku tentang satu kisah tentang Dajjal.

Kisah yang dia ceritakan itu sesuai dengan apa yang telah aku ceritakan kepada kamu sebelumnya. Katanya dia bersama 30 orang kawannya pergi ke laut dengan menaiki kapal. Angin kencang datang bertiup dan ombak besar membawa mereka ke tengah-tengah samudera yang luas. Mereka tidak dapat menghalakan kapalnya ke pantai sehingga terpaksa berada di atas laut selama satu bulan. Akhirnya mereka terdampar di sebuah pulau menjelang terbenamnya matahari. Di pulau yang tidak ditempati orang itu mereka berjumpa dengan binatang yang sangat tebal bulunya sehingga tidak nampak mana jantina dan duburnya.

Mereka bertanya kepada binatang itu: “Makhluk apa engkau ini?” Binatang itu menjawab: “Saya adalah Al-Jassasah.”

Mereka tanya: “Apa itu Al-Jassasah?” Binatang itu hanya menjawab: “Wahai kumpulan lelaki, pergilah kamu ke tempat ini untuk menjumpai lelaki macam ini, sesungguhnya dia pun ingin berjumpa dengan kamu. Mereka pun pergi ke tempat yang ditunjukkan oleh binatang itu.

Di sana mereka menjumpai seorang lelaki yang sangat besar dan tegap. Ertinya mereka tidak pernah melihat orang sebesar itu. Dari tangannya sampai ke tengkuknya dikuatkan dengan besi, begitu juga dari lututnya sampai ke telapak kakinya. Mereka bertanya: “Siapakah anda?” Orang seperti raksaksa itu menjawab: “Kamu telah mendengar cerita tentang aku. Sekarang aku pula ingin bertanya: “Siapa kamu ini?”

Mereka menjawab: “Kami adalah manusia berbangsa Arab. Kami pergi ke laut menaiki kapal, tiba-tiba datang ombak besar membawa kami ke tengah-tengah samudera luas dan kami berada di lautan selama satu bulan. Akhirnya kami terdampar di pulau yang tuan tempati ini.

“Pada mulanya kami berjumpa dengan binatang yang sangat tebal bulunya sehingga kami tidak dapat mengenali jantinanya. Kami tanya siapa dia katanya Al-Jassasah. Kami tanya apa maksudnya dia hanya menjawab: “Wahai kumpulan lelaki, pergilah kamu ke tempat ini untuk menjumpai lelaki macam ini, sesungguhnya dia pun ingin berjumpa dengan kamu.”

Itulah sebabnya kami datang ke tempat ini. Sekarang kami sudah berjumpa dengan tuan dan kami ingin tahu siapa tuan sebenarnya.” Makhluk yang sangat besar itu belum menjawab soalan mereka terus sahaja mengemukakan soalan:

“Ceritakan kamu kepadaku keadaan kebun kurma yang di Bisan itu,” nama tempat di negeri Syam. Mereka menjawab:

“Keadaan apanya yang tuan maksudkan?” Orang besar itu menjawab: “Maksudku apakah pokok kurma itu berbuah?”

Setelah mereka menjawab bahawa pokok kurma itu berbuah, orang besar tadi berkata: “Aku takut pokok itu tidak berbuah.”

Orang besar itu bertanya lagi: “Ceritakan kepadaku tentang sungai Tabarah.” Mereka menjawab: “Tentang apanya yang tuan maksudkan?” Lelaki itu menjawab: “Maksudku airnya apakah masih ada.” Mereka menjawab: “Airnya tidak susut.” Lelaki itu berkata: “Air sungai itu disangsikan akan kering.”

Akhirnya lelaki seperti raksaksa itu berkata: “Kalau begitu ceritakan kepadaku tentang Nabi Al-Amin itu, apa yang dia buat?” Mereka menjawab: “Dia telah berhijrah dari Makkah ke Madinah.” Lelaki itu bertanya lagi: “Apakah dia diperangi oleh orang-orang Arab?” Mereka menjawab: “Ya, dia diperangi oleh orang-orang Arab.” Lelaki itu bertanya lagi: “Kalau begitu apa pula tindakan dia terhadap mereka?” Mereka ceritakan bahawa Rasulullah s.a.w telah mengembangkan dakwahnya dan sudah ramai pengikutnya.

Orang besar itu berkata lagi: “Memang begitulah, padahal mereka beruntung jika taat kepadanya.” Kata orang besar itu lagi: “Sekarang aku terangkan kepada kamu bahawa aku adalah Al-Masih Dajjal. Nanti aku akan diberi izin keluar, lalu aku pun akan menjelajah dunia ini. Dalam masa empat puluh malam sudah dapat aku jalani semua, kecuali Makkah dan Madinah yang aku tidak dapat memasukinya. Negeri Makkah dan Madinah dikawal oleh para Malaikat, maka aku tidak dapat menembusinya.”

Kata Tamim Al-Dariy lagi, “Rasulullah s.a.w menekankan tongkatnya di atas mimbar sambil berkata: “Inilah negeri yang tidak dapat dimasukinya itu, iaitu Madinah. Saudara-saudara sekalian apakah sudah aku sampaikan cerita ini kepada kamu?” Mereka menjawab: “Ya, sudah ya Rasulullah.” Rasulullah s.a.w berkata lagi: “Sememangnya hadis Tamim itu lebih meyakinkan saya lagi. Ceritanya itu bersesuaian dengan apa yang telah aku sampaikan kepada kamu sebelumnya, iaitu tentang Makkah dan Madinah yang dikatakan tidak dapat dimasuki Dajjal. Cuma dia ada mengatakan di lautan Syam atau di laut Yaman. Tidak, bahkan ia dari arah timur. Ia dari arah timur,” kata Rasulullah s.a.w sambil menunjuk ke arah timur.

Rasulullah s.a.w telah menguatkan lagi bahawa Dajjal akan datang dari arah timur. Ada yang mengatakan bahawa Dajjal akan datang dari Khurasan atau Asfahan. Wallahu a’lam