Friday, August 28, 2009

ISLAM dan CINTA MANUSIA

ISLAM sebagai sebuah agama yang syumul yang cukup sempurna dan amat sesuai untuk semua jenis bangsa dan keturunan manusia. ALLAH S.W.T telah menciptakan bangsa manusia dengan satu fitrah yang menjadi lumrah manusia semenjak dahulu kala lagi, iaitu perasaan. Perasaan manusia ini sememangnya terbahagi kepada berbagai-bagai karenah setiap anak adam. Ada yang mempunyai perasaan ingin berjihad lebih dari keinginan lain, ada juga yang mempunyai perasaan sedih sentiasa namum itu semua adalah kerja ALLAH dalam menentukan apa yang dikehendakiNya.

Tidak kurang juga ALLAH memberikan pelbagai dugaan buat hambaNya dalam menguji sejauh manakah keimanan seseorang itu kepadaNya melalui perasaan yang cukup istimewa kepada lelaki dan wanita iaitu dicintai dan ingin mencintai.

Ajaran Islam telah diturunkan oleh Allah Taala untuk memasang bingkai agar kemahuan manusia itu dapat disalurkan dengan cara yang terbaik. Selain itu, Islam menutup rapat jalan kemaksiatan dan membuka seluas-luasnya jalan menuju ketaatan serta memberi dorongan kuat ke arah perlaksanaannya. Rasulullah S.A.W pernah mengecam salah seorang sahabat yang bertekad untuk tidak berkahwin. Ini merupakan salah satu bukti bahawa Islam mengakui dan mengiktiraf fitrah manusia yang ingin mendambakan cinta. Namun persoalannya, bagaimana cara terbaik untuk menyalurkan cinta suci ini selari dengan kehendak Allah Taala dan Rasulullah S.A.W mengikut era semasa?



Percintaan dalam Islam hanyalah selepas termeterainya sebuah ikatan pernikahan antara dua insan, iaitu selepas lafaz Ijab dan Qabul. Islam telah menggariskan suatu panduan dalam menuju ke arah gerbang perkahwinan ini dengan cara lebih selamat. Sebenarnya dalam Islam, apabila seseorang lelaki itu telah berkenan dengan seorang wanita dan ingin menjadikan teman hidup, sepatutnya lelaki itu berjumpa dengan wali si perempuan tadi bagi menyatakan niatnya untuk masuk meminang. Tetapi masyarakat sekarang silap. Mereka terus berjumpa dengan tuan empunya diri dan terus menyatakan niat hati. Kemudian mereka bercinta, berjanji sumpah setia dan berkenalan dalam masa terlalu lama. Sedangkan ibu bapa mereka langsung tidak tahu akan perhubungan mereka ini. Setelah sekian lama bercinta, apabila ingin melangsungkan perkahwinan, emak dan ayah tidak bersetuju dengan pilihan hati. Akhirnya mengakibatkan hubungan kekeluargaan menjadi keruh. Terlebih malang tidak mendapat kerestuan ibu bapa, maka jauhlah keberkatan hidup si anak.


Bolehkah Bercinta Sebelum Kahwin?


Secara kasarnya ada sesetengah ulama’ menganggap bercinta itu halal (harus) tetapi jumhur ulama’ lain pula menganggap haram. Bagaimanapun dikalangan ulama’ fiqh terdapat beberapa ulama’ yang merupakan ahli pencinta yang hebat seperti Daud az Zahiri yang merupakan Imam Mazhab az Zahiri.
Baiklah, penulis akan mengungkapkan beberapa hujah di sebalik bercinta sebelum berkahwin dibolehkan dan diharamkan, namun keputusan terakhir adalah berdasarkan pertimbangan akal yang sihat, di mana melihat isu ini mengikut kesesuaian diri masing-masing.

Pandangan pertama: Bercinta merupakan antara fitrah insani penting dalam kehidupan. Tiada siapa yang dapat lari daripada ber-couple dan bercinta walaupun cara dan kaedah mereka nampak Islamik (menjaga hawa nafsu dari maksiat), termasuk mereka yang bercinta selepas berkahwin. Hal ini kerana mereka yang bercinta selepas berkahwin akan melihat bakal isteri sebelum Ijab dan Qabul. Jika bercinta dianggap sebagai mukaddimah pada perkahwinan, maka ber-couple (kaedah Islamik) pula dianggap sebagai mukaddimah pada bercinta. Kedua-dua ini berkait antara satu sama lain, kecuali bagi mereka berkahwin atas pilihan keluarga. Ber-couple yang penulis maksudkan ialah bukan berdua-duaan sehingga timbul fitnah antara lelaki dan perempuan bukan mahram, tetapi hanya sekadar ingin menyatakan luahan hati dan bersedia mengambil pasangan masing-masing sebagai calon suami dan isteri. Jangan salah andaian. Bercinta dianggap berguna jika dapat membawa pada kebaikan kepada kedua-dua pasangan. Sebagai contoh ber-couple dan bercinta yang disusuli dengan perkahwinan dan mendirikan rumahtangga adalah berguna kerana membawa kebaikan. Maka sini terbentuk pula keluarga, dan daripada keluarga ini terbentuk pula masyarakat seterusnya negara.

Pandangan Kedua: Namun dari sudut lain, bercinta dianggap tidak berguna dan tidak membawa kepada kebaikan. Ber-couple dan bercinta seperti ini tidak menjadi mukaddimah pada perkahwinan sebaliknya mukaddimah pada melahirkan anak luar nikah atau mencampakkan anak yang tidak berdosa ke dalam tong sampah dan longkang. Bercinta seperti ini dilarang dan diharamkan dalam Islam. Selain itu perlu diingatkan juga bahawa tindakan seseorang itu ber-couple dan bercinta itu biasanya bertitik tolak daripada perasaan dan emosi, maka dengan itu mudah sekali terjerumus dalam perkara-perkara yang tidak baik. Oleh itu sesiapa sahaja yang berhadapan dengan ajakan perasaan dan emosi untuk ber-couple dan bercinta perlu berusaha sedaya upaya mengunakan kewarasan akal. Malah sebagai seorang muslim kita juga perlu mengelak daripada konteks fizikal atau luaran yang boleh mencetuskan keghairahan seks yang seterusnya menyebabkan berlaku perlanggaran hukum Allah Taala iaitu perzinaan.

Dalam hal ini adalah amat perlu setiap individu muslim berpegang kepada tanggugjawab menjaga dan memelihara aurat kerana persoalan keghairahan seks mempunyai hubungkait yang amat besar untuk berlakunya perzinaan. Jawapannya ada dalam diri anda dengan menggunakan pertimbangan akal yang sihat, kaji selidik dan pertimbangan Iman yang mana bertepatan dengan ajaran Islam. Manusia yang diamanahkan Allah Taala sebagai khalifah di muka bumi ini perlu meneruskan survival dan kemandiriannya sehingga ke hari kiamat. Kemungkinan jika manusia tidak bercinta (tidak semua), kita akan pupus di dunia dan sudah tentu menyalahi amanah Allah Taala itu. Tetapi jika bercinta itu membawa ke arah kebinasaan, maka menjauhinya adalah sebaik-baik tindakan. Kebiasaan mengundang kebinasaan.


Remaja bercinta bukan suatu perkara yang melanggar fitrah. Ia satu fitrah tetapi perlu diaturkan bagaimana cara mereka bercinta. Cinta tidak boleh berdasarkan emosi semata-mata. Remaja mesti ada rasa tanggungjawab. Manakala dalam hal lain dan bukti dimana cinta dibolehkan mengikut panduan kisah Nabi Yusuf a.s dan Zulaikha boleh dijadikan panduan. Allah Taala menyebut dalam Al Quran: Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu, kalaulah dia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu)” Yusuf (12:24)
Nabi Yusuf a.s berjaya mengawal diri dari terjerumus dalam cinta yang membawa jenayah zina. Islam menggariskan beberapa panduan dalam menjaga tatasusila masyarakat terutama hubungan antara lelaki dan perempuan, antaranya:
(1) tidak dibenarkan pergaulan bebas.
(2) tidak duduk berdua-duaan tanpa mahram.
(3) menjaga adab pertuturan dan berpakaian.
(4) menjaga pandangan mata.
(5) ikhlas untuk mengambil sebagai isteri.
Dalam keadaan ini berpasangan dan percintaan dibenarkan

KESIMPULAN

Dalam konteks remaja masa kini yang masih berusia belasan tahun tetapi sudah pandai mengenai selok belok ber-couple ini, sememangnya haramlah hubungan itu kerana ianya didasari oleh nafsu serta ingin mencuba sahaja.
Dalam konteks kita yang masih menimba ilmu, tidak perlulah bersusah-susah mencari jodoh sekarang. Jodoh di tangan Allah, pasti bertemu jua dengan takdir-Nya. Sekarang kita mempunyai matlamat yang lebih penting iaitu mendapatkan kecemerlangan dalam pelajaran dan menunaikan tanggungjawab kita sebagai muslim serta janji kepada kedua ibu bapa kita. Banyak lagi tanggungjawab yang perlu kita pikul dan bercinta bukanlah sesuatu yang perlu buat masa sekarang. Berusahalah menjadi muslim dan muslimah sejati dengan cara mengamalkan Islam dalam kehidupan. Matlamat tidak boleh menghalalkan cara.

0 comments: